NAJIB   mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Digital Malaysia  kali ke-29 di Bangunan Perdana Putra, semalam.
NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Digital Malaysia kali ke-29 di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan akan memperkenalkan strategi Perkomputeran Awan Pertama (Cloud First) dalam agenda nasional negara bermula dengan sektor awam sejajar dengan usaha memanfaatkan teknologi berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan itu diambil selepas melihat pengkomputeran awan (cloud) menjadi asas kepada transformasi digital sesebuah organisasi.

“Penggunaannya membolehkan sistem penyampaian kerajaan dilaksanakan dengan lebih inovatif dan pantas kepada rakyat tanpa membabitkan perbelanjaan modal yang tinggi untuk melabur dalam infrastruktur teknologi maklumat (IT) seperti pusat data, pelayar dan penstoran.

“Ia sekali gus membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber untuk program berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya ketika berucap selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Digital Malaysia (ICM) kali ke-29 di Bangunan Putra Perdana, semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) Tan Sri Sidek Hassan.

Najib berkata, menerusi strategi ini, ia menunjukkan kerajaan kini sedang menuju ke arah transformasi digital secara lebih serius.

Katanya, kerajaan juga boleh membantu memudahkan penggunaan pengkomputeran awan oleh sektor swasta.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia akan membangunkan Kerangka Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan sebagai tambahan kepada Kerangka Data Raya (BDA) Analitik Kebangsaan.

“Pembangunan ini akan diketuai MDeC dan ia akan menjadi game changer untuk memperbaiki kehidupan rakyat,” katanya.

Najib berkata, inisiatif Program Keusahawanan Teknologi Malaysia (M-TEP) yang diperkenalkan sebelum ini menarik minat usahawan dari seluruh dunia untuk menyertainya.

Menurutnya, inisiatif itu sudah menerima permohonan daripada usahawan dari lebih 10 negara termasuk Jerman, India, Australia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, kerajaan berharap dapat mempercepatkan penerimaan digital dalam kalangan industri menerusi pengenalan Program Pemecutan Transformasi Digital (D-TAP) untuk syarikat besar dan pertengahan yang menyumbang sebanyak 63.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Untuk mempercepatkan transformasi ini, kerajaan akan melantik Makmal Transformasi Digital untuk menyediakan perkhidmatan perundingan dan membantu dalam prototaip produk serta perkhidmatan digital baharu.

“Makmal ini akan memadankan syarikat yang mengambil bahagian dengan syarikat digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 5:34 AM