YASMIN Mahmood.
YASMIN Mahmood.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan ekonomi digital di Malaysia terus meningkat dengan sumbangan sebanyak 17.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini bersandarkan pelaksanaan pelbagai aktiviti meliputi pembangunan bakat dan tarikan pelaburan.

Malah, MDEC juga optimis angka sumbangan ekonomi digital Malaysia mampu mencapai sasaran 20 peratus menjelang 2020 memandangkan pihak kerajaan terus memandang serius kepada industri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, perkara itu dapat dilihat dalam pembentangan Bajet 2017 apabila MDEC menerima peruntukan RM162 juta bagi membangunkan pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement serta pembangunan lokasi baru sebagai Hab Digital Malaysia.

Beliau berkata, industri digital ekonomi mampu menjana pendapatan negara memandangkan ia semakin mendapat perhatian global dalam pelbagai aktiviti perniagaan.

“Malah, kita juga tidak saja menyentuh kepada pembangunan syarikat korporat malah membangunkannya dari peringkat bawah contohnya dengan memperkenalkan program e-Usahawan dan e-Rezeki kepada rakyat di negara ini.

“Kedua-dua program ini penting bagi membolehkan negara mempunyai bakat keusahawanan dalam industri ekonomi digital dengan sasaran mewujudkan sejuta bakat menjelang 2020,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Yasmin berkata, dari segi pelaburan ekonomi digital, Malaysia juga dijangka berkembang pada tahun ini berbanding sekitar RM4.6 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 7:47 AM