FENOMENA gerhana matahari separa dilihat di Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
FENOMENA gerhana matahari separa dilihat di Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Semenanjung Malaysia berkemungkinan mengalami kemarau berikutan fenomena gerhana matahari separa dan El Nino yang berlaku ketika ini.

Pakar Astronomi Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Othman Zainon berkata, kehadiran fenomena gerhana matahari separa menyebabkan jangkaan peningkatan suhu satu hingga dua darjah celsius.

Katanya, kemarau berkenaan dijangka berlarutan sehingga empat hingga enam bulan.

"Fenomena ini mengulangi kejadian kemarau akibat fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku di Kudat, Sabah pada 1995, iaitu pengulangan fenomena setiap 21 tahun sekali. Malah tarikh gerhana matahari separa pada tahun ini dan 1995 jatuh pada hari yang sama iaitu 29 Jamadil Awal.

"Ketika itu negeri Semenanjung Malaysia mengalami gerhana matahari separa dan akibat peristiwa itu taburan hujan dan paras takungan air di empangan turut berkurangan selain cuaca yang tidak menentu. Oleh itu orang ramai perlu menjimatkan penggunaan air untuk kemungkinan itu," katanya.

Katanya, kemarau yang bakal berlaku bukan tiada hujan tetapi kadar taburan hujan akan berkurangan disebabkan faktor sokongan El Nino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 6:51 PM