MAYA.
MAYA.
Syafil Syazwan Jefri


Walaupun ramai mengenalinya sebagai pelakon, Maya Karin mengakui minatnya lebih cenderung kepada muzik dan kerana itu dia berusaha mengembangkan nama sebagai penyanyi.

Menurut Maya, tahun ini dia mahu fokus kepada bidang nyanyian dan kerana itu terpaksa memperlahankan karier lakonan.

“Tak pernah terfikir untuk bersara dari bidang lakonan cuma untuk tahun ini saya mahu tumpukan perhatian pada nyanyian.

“Saya ada terima tawaran membintangi filem tetapi ia masih dalam perancangan. Ramai peminat mahu filem Jwanita di sambung, kalau ada rezeki, adalah,” katanya.

Terbaru, Maya yang kini popular dengan lagu Serik Dengan Cinta tampil dengan single Tersenyum namun nampaknya ia kurang mendapat tempat di hati pendengar.

Maya berkata mungkin lagu itu kurang diterima pendengar kerana ia berentak jazz.

“Saya tidak kecil hati atau kecewa. Sebagai penyanyi saya kena faham kehendak pendengar dan buat lebih bagus pada masa akan datang.

“Tak mengapalah, inilah yang dinamakan dugaan anak seni dan saya kena terima dengan hati terbuka,” katanya.

Maya yang baru-baru ini menjayakan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Alor Setar, Kedah turut mengakui selesa bergerak secara berkumpulan.

“Persembahan rasa lebih hidup apabila diiringin band Bella Luna. Kalau sekadar menggunakan minus one, rasa kekok pula.

“Kami kini mencari arah tuju, mungkin mereka akan terus bersama saya sebagai sebuah band seperti Akim & The Majistret atau hanya akan bersama saya jika ada persembahan secara langsung,” katanya lagi.

Bagi meningkatkan kemampuannya dalam nyanyian, penyanyi berusia 37 tahun ini turut menggunakan khidmat guru vokal.

“Saya menghadiri kelas vokal bersama Cikgu Shafi. Banyak yang saya belajar dan ia membantu memantapkan kualiti nyanyian.

“Selain belajar vokal, Cikgu Shafi turut berkongsi tip mahu tampil lebih yakin ketika menjayakan persembahan,” katanya.

Peminat setia The Cranberries, U2 dan Coldplay ini turut memaklumkan akan merakamkan single seterusnya dalam waktu terdekat.

“Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai single ini. Judulnya masih dirahsiakan namun genrenya rancak. Walaupun meminati lagu berat, saya tak ada masalah menyanyikan lagu rancak,” katanya.

Selain itu, dalam diam Maya adalah pemegang saham iflix, sebuah saluran televisyen berbayar atas talian.

“Selain pemegang saham, saya turut menggalas tanggungjawab sebagai duta iflix. Kami bekerjasama dengan TM apabila setiap pelanggan TM boleh akses iflix dengan hanya RM8 sebulan.

“Saya juga dalam perancangan menghasilkan produk untuk dimasukkan dalam iflix.

“Selain itu, saya masih bergelar duta untuk beberapa jenama terkenal. Alhamdulillah, pelaburan hartanah juga mula membuahkan hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 8:56 AM