AGENDA seni Ernie padat sepanjang Ramadan hingga penghujung tahun ini.
AGENDA seni Ernie padat sepanjang Ramadan hingga penghujung tahun ini.
Ramlah Zainal


Berkat kerja keras selama lapan tahun, Ernie Zakri kini mengecapi populariti dan berada di kemuncak kejayaan dalam karier nyanyian.

Malah, kehebatan vokal Ernie, 26, juga diiktiraf apabila gandingan duetnya menerusi lagu Aku Cinta bersama Syamel mengungguli kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 tahun ini.

Terbaru, bekas juara Bintang RTM 2009 ini mempertaruhkan single terbaru berjudul Misteri ciptaan Gouffran dan Sang Hitam yang turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.

“Alhamdulillah, peminat memberikan reaksi positif selepas saya memuat naik semula video muzik baru dengan kualiti audio yang lebih baik sejak 29 Mac lalu.

“Single Misteri cukup bermakna kerana liriknya banyak berkait rapat dengan susah senang sepanjang lapan tahun membina nama dalam bidang nyanyian.

“Saya juga mengambil tempoh setahun untuk menyiapkan lagu ini kerana ingin memastikan hasilnya adalah yang terbaik dan menepati kepuasan diri dan peminat.

“Saya juga tidak sabar menyampaikan lagu ini di pentas,” katanya.

Ernie ditemui pada majlis pelancaran lagu tema raya Mydin, Girang Syawal Tiba yang berlangsung di Subang, Selangor baru-baru ini.

Selain Ernie, lagu ciptaan komposer Mira Ali dan Shah Shamsiri itu turut menampilkan lima lagi barisan artis syarikat rakaman FMC iaitu Tajul, Haqiem Rusli, Wani GGV, Sissy Iman dan Zoey Rahman.

Menurut Ernie, agenda seninya juga padat sepanjang Ramadan hingga penghujung tahun ini.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Ternyata, kerja keras dan kesabaran selama ini berbaloi.

“Selain single Misteri, saya juga terikat dengan komitmen mempromosikan lagu tema raya Mydin, Girang Syawal Tiba pada Ramadan dan Syawal nanti,” katanya.

Tajul belajar vokal dengan Ernie

Sepanjang Ramadan ini, penyanyi yang menempa nama menerusi lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul juga sibuk mempromosikan single ketiganya berjudul Hasrita ciptaan komposer Harun Ahmad.

Video muzik Hasrita mencatat tontonan lebih 1.5 juta sejak dimuat naik di YouTube pada 27 April lalu.

Menurut pemilik nama sebenar, Tajul Ariff Md Shari, 19, yang juga adik bongsu Allahyarham Achik Spin ini, walaupun video muzik single Hasrita mendapat kecaman netizen kerana didakwa ditujukan kepada penyanyi popular Wany Hasrita, dia tidak cepat melatah.

“Single Hasrita bukan ciptaan saya sebaliknya hasil karya komposer Harun.

“Saya harap netizen bukalah mata kerana single itu bukan saya yang cipta. Begitu juga liriknya.

“Saya hanya tutup mata dan tidak mahu balas kecaman netizen kerana sedar judul lagu itu pasti mendapat kecaman sejak awal lagi,” katanya.

Mengenai gandingan duet dengan Wany pula, kata Tajul, ia juga diputuskan pihak FMC.

“Tidak nafikan saya selesa berduet dengan Wany kerana dia senang dibawa berbincang.

“Sebelum ini kami pernah berduet menerusi lagu Disana Cinta Disini Rindu dan Rindu Dalam Benci. Namun, kami rapat sebagai rakan duet dan seperjuangan sahaja kerana sama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman sama,” katanya.

Jika nak diikutkan, kata Tajul, dia juga tidak kisah untuk berduet dengan rakan artis lain dalam FMC termasuk Ernie.

“Jika ada rezeki dan peluang saya ingin berduet dengan Ernie pula selepas ini.

“Tapi semuanya bergantung pada syarikat rakaman,” katanya.

Tajul turut mendedahkan dia belajar vokal dengan Ernie sejak tahun lalu.

“Seperti kita tahu, Ernie guru vokal dan saya berguru dengannya. Saya mahu memperbaiki mutu vokal dan memantapkan skil beraksi secara langsung di pentas.

“Menurut Ernie, vokal saya lambat panas dan saya perlu membuat ‘warm up’ sejam atau dua jam lebih awal sebelum persembahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:36 AM