SALAMIAH masih meneruskan karier nyanyian walaupun diambang usia 68 tahun. FOTO: Faiz Anuar
SALAMIAH masih meneruskan karier nyanyian walaupun diambang usia 68 tahun. FOTO: Faiz Anuar
Ramlah Zainal


HAMPIR lima dekad bergelar anak seni, Salamiah Hassan yang bakal mencecah usia 68 tahun pada 10 Mei ini ternyata masih bertahan dalam bidang nyanyian.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Gelombang ini, dia akan terus menyanyi selagi masih bernafas dan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Ada yang bertanya bagaimana saya boleh menyanyi dengan kasut tumit tinggi selama dua jam?

“Terus terang, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana masih boleh menyanyi dan mencari rezeki dalam bidang nyanyian sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, dia juga masih meneruskan karier nyanyian kerana mahu hidup berdikari dan tidak mahu menyusahkan anaknya.

“Mungkin kerana zaman muda dulu, saya hidup susah kerana bergelar ibu tunggal dan anak masih kecil.

“Apabila anak sudah besar, baru saya dapat memberi tumpuan pada bidang nyanyian yang diceburi sejak dulu.

“Namun, saya ada juga terfikir mahu bersara daripada bidang nyanyian satu hari nanti,” katanya.

Salamiah ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai ikon Secret Modest yang berlangsung di sebuah restoran di Seksyen 14, Shah Alam, kelmarin.

Mengenai perkembangan karier nyanyian pula, katanya dia baru selesai menjayakan mini showcase yang berlangsung di D’Saji, baru-baru ini.

“Saya terharu ada peminat yang menangis bila menonton persembahan ketika itu.

“Selepas konsert itu, ada pihak korporat yang menawarkan saya untuk menjayakan persembahan selepas ini,” katanya.

Ditanya ada artis usia 40-an yang tidak mampu bertahan dalam bidang nyanyian, Salamiah berkata, dia bersyukur kerana dianugerahkan bakat dalam bidang nyanyian.

“Arwah emak saya juga penyanyi dan dia beritahu saya juga dilahirkan dengan bakat menyanyi serta akan berjaya dalam bidang nyanyian.

Saya juga tidak malu beritahu peminat daripada generasi muda, saya ibu penyanyi Atilia dan bangga bila dia menyanyikan lagu saya,” katanya.

Ikon Secret Modest

Selain sibuk memenuhi undangan persembahan, Salamiah juga bertuah kerana rezekinya juga murah selaku jurucakap produk kecantikan dan jenama pakaian. Terkini, Salamiah dilantik sebagai ikon jenama fesyen Secret Modest.

ASFARENA (dua dari kiri) bersama Salamiah pada majlis pelancaran produk di Shah Alam.
ASFARENA (dua dari kiri) bersama Salamiah pada majlis pelancaran produk di Shah Alam.

Menurutnya, dia menerima tawaran untuk menjadi ikon jenama fesyen dalam talian itu selepas berbincang dengan pemiliknya, Datuk Asfarena Samion, dua bulan lalu.

“Saya terima tawaran bukan sebab bayaran lumayan sebaliknya kerana melihat keikhlasan pemiliknya.

“Selain itu, saya juga menyukai rekaannya yang eksklusif dan sesuai untuk digayakan ketika persembahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:00 AM