SOO memberi penerangan mengenai penggunaan perisian EMS.
SOO memberi penerangan mengenai penggunaan perisian EMS.
myMetro

Petaling Jaya: Schneider Electric, pakar pengurusan tenaga dan automasi memperkenalkan penyelesaian pemantauan elektrik (EMS) khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mengendalikan penggunaan tenaga lebih cekap dan berkesan.

Presiden Negaranya, Soo Pow Leong berkata, EMS dapat membantu PKS dalam mengesan penggunaan tenaga berlebihan dan menguruskannya mengikut keperluan yang dapat menghasilkan penjimatan kos kepada organisasi.

Beliau berkata, ia menggunakan sistem pemantauan kuasa dan perisian berasaskan web ataupun kawalan melalui tablet dan iPad yang percuma kepada pelanggan sedia adanya tanpa caj tambahan bagi yuran kejuruteraan.

“Kami menyasarkan PKS yang akan menggunakan sistem ini adalah mereka yang mempunyai penggunaan tenaga yang tinggi dengan kadar bil elektrik bulanan mencecah antara RM200,000 dan RM300,000 setiap bulan.

“Sesebuah organisasi PKS berupaya mengalami penjimatan tenaga antara lapan dan 15 peratus serta dapat membantu menjana pertumbuhan perniagaan dengan terancang,” katanya di sini.

Menerusi penggunaan perisian EMS, pengguna akan menerima makluman e-mel berkenaan status penggunaan tenaga serta sistem pesanan ringkas (SMS), bergantung kepada penyedia telekomuniasi yang digunakan.

Katanya, kebanyakan perniagaan sederhana sudah biasa dengan pemantauan daripada meter kuasa digital dan tidak menyedari akan kehadiran komponen voltan rendah Schneider yang menghubungkan proses perniagaan penting pintar serta menyediakan data dan boleh dipantau.

“Pemantauan kuasa adalah perniagaan yang besar dengan anggaran pasaran yang mencecah sehingga RM300 juta di Malaysia dan kebiasaannya organisasi akan berbelanja RM100,000 ke atas untuk memiliki penyelesaian tenaga asas seperti perisian pemantauan kuasa dan integrasi perisian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 7:03 AM