Ismailia: Mesir semalam membuka pintu sempadan Rafah untuk membolehkan ribuan rakyat Palestin yang terkandas pulang ke Gaza.

Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu masih menutup laluan untuk memasuki Mesir.

Pintu sempadan itu, satu-satunya laluan untuk penduduk Palestin di Gaza ke luar negara ditutup sejak 25 Oktober lalu selepas aktivis Islam Mesir di Sinai membunuh 33 anggota keselamatan negara itu.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 6,000 rakyat Palestin di Mesir dan dari negara ketiga terkandas.

Stesen televisyen Mesir melaporkan, pintu sempadan itu hanya dibuka selama empat jam semalam sebelum ditutup dan dibuka semula pada jam 7 pagi hingga 4 petang hari ini.

Gaza dikuasai oleh Hamas yang mempunyai hubungan erat dengan Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan Mesir selepas penggulingan kerajaan Presiden Mohamed Mursi tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:03 AM