Agensi

Kaherah: Pejabat peguam negara Mesir merujuk ulama terkenal kelahiran negara itu yang juga pemimpin Ikhwanul Muslimin Yusuf Qaradawi serta beberapa pemimpin lain kumpulan berkenaan ke mahkamah tentera untuk menghadapi tuduhan membunuh.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya kelmarin, pejabat peguam negara berkata, defendan dituduh membunuh seorang pegawai keselamatan dan menyasarkan institusi awam dan rakyat negara itu yang bekerjasama dengan agensi keselamatan.

Tertuduh dalam kes itu termasuk empat pemimpin Biro Penasihat Ikhwanul Muslimin, badan tertinggi pembuat dasar Ikhwan.

Agensi berita rasmi Mesir (MENA) melaporkan, 53 orang terbabit dalam kes itu walaupun kenyataan pejabat peguam negara tidak menyebut jumlah mereka di dalam kenyataannya.

Ikhwan menjadi sasaran kempen keselamatan pihak berkuasa Mesir sejak pertengahan 2013 apabila Mohamed Mursi, presiden negara itu yang pertama dipilih secara demokrasi digulingkan. Ratusan anggotanya terbunuh dan ribuan dipenjarakan.

Ikhwan juga diisytiharkan pertubuhan pengganas oleh kerajaan pimpinan Presiden Abdel-Fattah al-Sisi, bekas ketua tentera yang menjadi presiden pada pertengahan 2014.

Ikhwan menyangkal tuduhan anggotanya terbabit dalam kegiatan pembunuhan.

Tindakan merujuk kes itu ke mahkamah tentera diselar pertubuhan hak asasi tempatan dan antarabangsa yang menyuarakan kebimbangan defendan tidak akan dibicarakan secara adil.

Pernah menjadi kumpulan pembangkang terbesar dan paling tersusun, Ikhwan kini berdepan dengan sengketa dalaman, antara anggota tua dan muda.

Kebanyakan ahli muda dilapor memilih mengangkat senjata menentang rejim Mesir berikutan penggulingan Mursi dan kempen menindas kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:07 AM