Oleh Afiq Hanif

Intel berhasrat menukar konsep komputer peri­badi (PC) tradisional kepada peranti kompak mudah alih seperti tablet sebagai gajet utama pengguna di negara ini.

Pe­ngarah Serantau Pemasaran Produk Tablet Intel APAC & Jepun, George Chacko berkata, ia mampu dilaksanakan sekiranya tablet mempunyai ciri kerja hebat seperti penggunaan CPU yang boleh memberi impak kepada keupayaan penggunaan.

"Apabila masa menjadi sangat penting kepada pengguna, kita memerlukan gajet seperti tablet untuk memudahkan kerja," katanya.

Menurutnya, peranti mudah alih yang dikuasakan cip Intel boleh membantu pengguna menjimatkan masa dan dapat melakukan lebih ba­nyak kerja, sekali gus meningkat­kan produktiviti setiap hari tanpa kekangan.

"Kini terdapat pelbagai jenis tablet di pasaran de­ngan pelbagai saiz skrin, jenis sambungan dan sistem operasi," katanya.

Namun menurut Chacko, Intel hanya fokus kepada kualiti dalam teknologi yang memperkasakan tablet.

"Dengan adanya label Intel Inside pada tablet, ia sudah pasti memberikan gajet yang mampu beroperasi lebih pantas," katanya.

Antara teknologi yang bakal diperkenalkan Intel khusus untuk peranti mudah alih termasuk tablet pada masa terdekat ialah pemprosesan Intel Core yang lebih berkuasa pada saiz 14nm untuk lebih penjimatan tenaga.

Selain itu, Intel bakal memperkenalkan inovasi Realsense yang boleh me­ngubah suai gambar dan video secara terus dalam gajet.

Pada masa sama, Intel berhasrat menjadikan produk mudah alih dengan ciri memainkan video pada resolusi 4K lancar dan memperkasakan arkitektur 64 bit bagi memastikan lebih data diproses dalam satu kitaran dan akses kepada RAM yang lebih besar.

Disebabkan trendnya juga meningkat, Intel akan memperkenalkan sistem pe­ngecaman identiti biometrik yang lebih tepat dan pantas di samping ciri keselamatan ketat bagi memastikan tiada kebocoran maklumat kepada pihak tidak bertanggung­jawab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:44 AM