PENGGUNA boleh memilih variasi pemproses tujuh model bermula daripada Intel Core i3 sehingga i7.
PENGGUNA boleh memilih variasi pemproses tujuh model bermula daripada Intel Core i3 sehingga i7.
Muhammad Saufi Hassan

ANDA seorang pengguna yang mahu memiliki peranti yang memberi fokus kepada produktiviti serta ringan, mudah dibawa ke mana saja tanpa sebarang bebanan berat.

Pengguna hari ini lebih gemar kepada peranti yang mampu beroperasi dalam mod tablet atau mirip kepada laptop kerana ia bukan saja mudah malah memiliki ciri terkini.

Untuk semua set kelengkapan berkenaan, pengguna boleh mempertimbangkan untuk memiliki Microsoft Surface Pro 7 iaitu peranti terbaru keluaran gergasi perisian, Microsoft.

Peranti Surface Pro 7 adalah generasi ketujuh untuk model Surface yang menampilkan dua mod iaitu tablet dan laptop bergantung kepada keperluan pengguna untuk sesuatu masa.

Menyentuh aspek spesifikasi, Microsoft Surface Pro 7 menggunakan pemproses Intel Core i5 daripada model i5-1035G4 yang menampilkan teras kuad dengan kuasa talaan 3.7GHz.

Pengguna boleh memilih variasi pemproses tujuh model bermula daripada Intel Core i3 sehingga i7 dengan penawaran kadar harga yang berbeza.

PERANTI Surface Pro 7 adalah generasi ketujuh untuk model Surface yang menampilkan dua mod.
PERANTI Surface Pro 7 adalah generasi ketujuh untuk model Surface yang menampilkan dua mod.

Peranti ini menggunakan unit pemproses grafik keluaran Intel daripada model Iris Plus untuk menampilkan tona warna lebih baik untuk memudahkan pengguna.

Microsoft Surface Pro 7 menggunakan keupayaan memori (RAM) 8GB dengan rekaan infrastruktur DDR4x manakala skrin menggunakan 12.3 inci dengan paparan 2,736 x 1,824 PixelSense.

Sistem storan peranti ini menggunakan 256GB SSD bertujuan untuk memberi prestasi lebih baik berbanding sistem storan konvensional cakera keras.

Jaringan Internet tanpa wayar (WiFi) untuk peranti berkenaan menggunakan sambungan yang menyokong WiFi 6 802.11ax serta sokongan Bluetooth 5.

Bagaimanapun, wujud beberapa kekurangan yang agak ketara apabila model terbaru ini dengan penawaran harga hanya menampilkan sokongan USB-C dan seharusnya mempunyai sokongan Thunderbolt 3.

Namun, ia hanyalah beberapa kelemahan kecil dan pengguna masih boleh menikmati keupayaan Microsoft Surface Pro 7 yang sesuai untuk pengguna yang memberi fokus kepada produktiviti tugasan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:01 AM