BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Bernama
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Bernama
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan belum menerima surat rasmi daripada mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tindakan beliau keluar parti itu.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir itu juga tidak menjejaskan UMNO.

"Yang lain-lain saya tidak tahu, tiap-tiap bulan kita ada peningkatan dalam (ahli) UMNO, tiada terjejas," katanya ketika ditemui media selepas sesi perjumpaan Menteri Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen (MP) Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Seramai 13 MP hadir pada majlis itu termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani; MP Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari; MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar; MP Bandar Bandar Tun Razak Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dan MP Batu Tian Chua.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Dr Mahathir yang mengumumkan keluar dari parti bersama isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mansor, semalam.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Putrajaya berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah mengenai permasalahan perumahan yang dihadapi penduduk sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 2:04 PM