Kakitangan LADA menunjukkan logo baharu LUGG selepas majlis pelancarannya, petang semalam. FOTO Hamzah Osman
Kakitangan LADA menunjukkan logo baharu LUGG selepas majlis pelancarannya, petang semalam. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yakin kedudukan Langkawi dalam Global Geopark menjadi lebih gah menerusi penjenamaan semula dan penggunaan logo baharu berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tan Sri Khalid Ramli, berkata, penggunaan logo baharu Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG) juga simbolik kepada kemajuan yang dicapai sejak sembilan tahun lalu.

"LUGG diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1 Jun 2007 dan kini usianya mencecah sembilan tahun.

"Langkah penjenamaan semula dan penggunaan logo baharu ini diyakini mampu memartabatkan LUGG ke seluruh dunia seiiring langkah UNESCO mengiktiraf Geopark sebagai program rasmi badan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan logo baharu LUGG, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA Datuk Rozaina Radzi.

Khalid berkata, logo baharu mempunyai perkataan UNESCO dan global menunjukkan skopnya lebih luas di peringkat antarabangsa, berbanding logo lama hanya mencatatkan Langkawi Geopark sahaja.

"LUGG menjadi kebanggaan kita apabila ia diiktiraf sebagai tapak geopark ke-52 dunia dan pertama di Asia Tenggara, malah kita berjaya mengekalkan status itu selepas melalui dua penilaian semula yang diadakan pada 2011 dan 2015 lalu," katanya.

Pada majlis sama, Khalid turut menyampaikan sijil pelantikan sebagai Duta Geopark kepada 21 individu terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Katanya, pelantikan Duta Geopark itu bertujuan membantu LADA dalam melaksanakan aktiviti mempromosi LUGG kepada penduduk tempatan dan pelancong asing yang bercuti di Langkawi.

Keterangan gambar:

1. Kakitangan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan logo baharu Langkawi UNESCO Geopark (LUGG) selepas majlis pelancarannya, petang semalam. STR/Hamzah Osman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 11:46 AM