DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah. FOTO BERNAMA
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli bercadang mewujudkan Geopark Kebangsaan seluas lebih 1,762 kilometer persegi di Lenggong dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana mempunyai pelbagai tarikan semula jadi.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jika direalisasikan, pembangunan Geopark Lenggong akan menjadi yang kedua di Perak selepas yang pertama iaitu Geopark Lembah Kinta dekat Ipoh diwujudkan pada 2018.

Shamsul Anuar berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama kerajaan negeri bagi tujuan itu kerana Lenggong juga merupakan tapak warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Pembangunan di Lenggong berbeza dengan geopark lain kerana kita akan gabungkan pembangunan dan penjenamaan secara mampan supaya ia mendapat pengiktirafan di peringkat global.

"Apa yang menarik Lenggong mempunyai elemen dan ciri-ciri yang tersendiri seperti gua, tasik dan rekreasi," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan taklimat cadangan pembangunan Geopark Lenggong di Pejabat Daerah dan Tanah di Lenggong, hari ini.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata pembangunan kawasan itu nanti akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong sebagaimana di Sarawak dan Pulau Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 3:35 PM