Delegasi Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG) dan Satun UNESCO Global Geopark (SUGG) bergambar kenangan selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik kedua-dua pihak di Hotel Bayview Langkawi. FOTO IHSAN LADA
Delegasi Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG) dan Satun UNESCO Global Geopark (SUGG) bergambar kenangan selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik kedua-dua pihak di Hotel Bayview Langkawi. FOTO IHSAN LADA
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG) dan Satun UNESCO Global Geopark (SUGG) menjalin kerjasama dalam bidang pengurusan geopark sebagai usaha melonjak semula industri pelancongan kedua-dua pihak pasca Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasarudin Abd Mutalib berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi Mesyuarat Kerjasama Strategik sempena lawatan Gabenor Satun, Ekkarat Leesen ke pulau ini selama dua hari berakhir hari ini.

Katanya, Gabenor Satun (Ekkarat Leesen) berserta isteri, Nosma Leesen dan 28 delegasi tiba di pulau ini untuk lawatan dua hari, mulai semalam.

"Sejurus tiba, mesyuarat membabitkan LUGG dan SUGG diadakan di sebuah hotel di sini, khususnya membincangkan agenda melonjak semula industri pelancongan kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nasarudin berkata, turut dibincang dalam mesyuarat sama adalah menyambung semula perkhidmatan feri penumpang Langkawi-Satun mulai 1 Oktober ini.

"Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh saya dan Gabenor Satun itu membincangkan juga mengenai tawaran tenaga kerja dari wilayah itu bagi mengatasi kekurangan pekerja di sektor pelancongan tempatan.

"Bagaimanapun, perkara itu perlukan perbincangan lanjut dan diperhalusi bersama agensi di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Langkawi diisytihar sebagai sebuah Geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1 Jun 2007, manakala Wilayah Satun, Thailand memperoleh status sama pada 17 April 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 2:28 PM