Langkawi: Nama Pulau Langkawi bertambah gah apabila terus mendapat pengiktirafan dunia apabila dipilih Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai pusat rujukan ‘geopark’ peringkat Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Tan Sri Khalid Ramli berkata, pemilihan itu terkandung dalam satu laporan yang dikemukakan UNESCO pada pertengahan September lalu walaupun Langkawi sudah dikenali sebagai pusat rujukan berkaitan geopark secara tidak formal sebelum ini.

Menurutnya, menerusi pengumuman terbaru itu, pihaknya bersedia menerima tanggungjawab itu kerana pulau peranginan terbabit sememangnya menjadi perhatian dunia kerana sering dilawati oleh orang luar untuk meninjau dan mempelajari berkaitan geopark sejak lapan tahun lalu.

“Ketika ini, ada 120 geopark membabitkan 33 negara di dunia dengan sembilan daripadanya diiktiraf oleh UNESCO sempena Simposium APGN ke-4 di Jepun pada pertengahan September lalu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Kesyukuran Geopark, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan dan Penyelaras Rangkaian Geopark Asia-Pasifik (APGN) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Mengulas lanjut mengenai Langkawi Geopark, Khalid berkata, status yang diperolehi mulai 1 Jun 2007 itu dilanjutkan empat tahun selepas UNESCO memberi penarafan kad hijau pada simposium sama.

“Status terbaru yang berkuat kuasa bagi tempoh 2016 hingga 2019 itu diberi selepas penilaian dijalankan oleh dua pakar geopark UNESCO iaitu Pablo Rivas Palomo dari Sepanyol dan Pasquale Li Puma (Itali).

“Kedua-dua pakar itu berada di Langkawi selama empat hari pada awal Ogos lalu sebelum dibawa melawat keseluruhan tapak geopark, selain berjumpa dengan komuniti setempat untuk penilaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 9:06 AM