Kuala Lumpur: Pergerakan Puteri UMNO mengecilkan 23 bironya kepada 15 dalam usaha memantapkan pergerakan berkenaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pengecilan jumlah biro sedia ada bertujuan memberi fokus kepada biro berkaitan kepentingan golongan wanita muda seperti latihan, penerangan, media baru sekali gus membantu menarik keahlian baru.

“Kita buat rombakan selepas tamat perhimpunan agung ini dan akan memulakan gerak kerja yang dipecahkan kepada tiga fasa bermula tahun depan. Antara biro yang diberikan penekanan ialah latihan dan pengkaderan; media sosial dan digital; ekonomi dan keusahawanan serta beberapa fokus lain.

“Rombakan itu diharap dapat memantapkan lagi Puteri pada masa depan sekali gus membantu parti memenangi PRU14 nanti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau berkata, pergerakan itu menyasar sebanyak 130,000 anggota baru dalam tempoh tiga tahun ini dan Ketua Puteri UMNO di setiap negeri diberi tanggungjawab khusus bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Setakat tiga hari lalu, kita mempunyai 375,356 anggota dan usaha berterusan perlu dijalankan bagi menambah keanggotaan kepada 500,000 orang menjelang 2018. Saya akan tukar mana-mana Ketua Puteri UMNO negeri yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kami turut melatih 1,000 pemimpin Puteri di peringkat akar umbi untuk menjadi pemidato dan mereka juga ditugaskan untuk menjawab segala tohmahan dilemparkan pembangkang terhadap polisi serta dasar kerajaan," katanya.

Menurutnya, 15 pembahas termasuk wakil mahasiswa dan orang kurang upaya (OKU) akan membahaskan ucapan dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:38 AM