PERGERAKAN pemain Arsenal Olivier  Giroud (kanan) banyak dihalang Hull.
PERGERAKAN pemain Arsenal Olivier Giroud (kanan) banyak dihalang Hull.
Reuters

London: Rekod tanpa kalah juara bertahan Arsenal pada saingan Piala FA kekal bertahan tetapi mereka dikecewakan pendahulu Liga Kejuaraan Hull City malam tadi apabila sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Emirates.

Skuad kendalian Arsene Wenger itu cuba menghasilkan gol menerusi beberapa siri serangan tetapi tetap gagal melepasi benteng pertahanan Hull yang dilihat cukup kebal sekali gus memaksa perlawanan ulangan dalam usaha mereka muncul kelab pertama era moden memenangi pertandingan berkenaan buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, satu-satunya peluang terbaik Arsenal untuk menghasilkan gol adalah menerusi sepakan percuma Joel Campbell yang terkena tiang selepas penjaga gol Hull Eldin Jakupovic berjaya menepis manakala cubaan Theo Walcott turut dinafikan penjaga gawang berkenaan.

Ketika tumpuan Arsenal terarah kepada saingan kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Rabu nanti, Gunners membuat sembilan perubahan ke atas pasukan yang mengalahkan Leicester City minggu lalu sekali gus membolehkan mereka kini hanya tertinggal dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana itu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:15 AM