KLOPP diharap mampu ulang kejayaannya bersama Liverpool.
KLOPP diharap mampu ulang kejayaannya bersama Liverpool.
Reuters

LONDON: Juergen Klopp adalah pengurus sempurna bagi membantu Liverpool memenuhi cita-cita mereka sekalipun tidak mampu menyaingi kuasa berbelanja kelab kaya di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas Ketua Eksekutif Liverpool, Christian Purslow berkata, sekalipun jurulatih dari Jerman itu belum memberikan Reds sebarang kejuaraan utama, tiada tekanan daripada pihak atasan kelab itu terhadap Klopp.

Klopp sebelum ini mengharungi tempoh selama tujuh tahun cemerlang bersama Borussia Dortmund apabila beliau berjaya mencabar dominasi Bayern Munich sekali gus menarik minat pemilik Liverpool, Fenway Sports Group untuk melantiknya melaksanakan projek mereka.

KLOPP (tengah) melihat anak buahnya berlatih.
KLOPP (tengah) melihat anak buahnya berlatih.

Membantu Borussia Dortmund menjuarai Bundesliga sebanyak dua kali selain aksi final Liga Juara-Juara pada 2013, Klopp begitupun belum mencetus impak besar buat Liverpool tetapi Purslow berkata, beliau adalah personaliti yang tepat untuk memegang jawatan itu.

“Selepas dua tahun, jawatan itu nampak cukup sempurna buat Juergen Klopp,” kata Purslow kepada Sky Sports.

“Ada persamaan besar dengan apa yang dicapainya di Dortmund, apa jangkaan yang diberikan terhadapnya untuk dicapai iaitu untuk bersaing dengan kelab gergasi Bayern Munich, dengan membelanjakan wang yang lebih sedikit, kedua-duanya untuk gaji dan ketika perpindahan pemain.”

Purslow berkata, seteru utama Liverpool di EPL iaitu Manchester United yang akan berkunjung ke Anfield Sabtu ini memperoleh pendapatan lebih banyak berbanding kelab Merseyside itu.

Katanya, Klopp memerlukan sedikit masa untuk mengulangi kejayaan yang dicapainya ketika di Bundesliga di England.

“Ada perbezaan pendapatan antara Manchester United dan Liverpool. Liverpool masih lagi hebat tapi mereka hanyalah pecahan daripada apa yang diperoleh Manchester United,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:37 PM