ANTARA warga asing yang ditahan. Foto ihsan APMM
ANTARA warga asing yang ditahan. Foto ihsan APMM
Norashikin Leman


Pelabuhan Klang: Sembilan belas warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang ketika cuba menyeludup keluar dari negara dengan menaiki bot di Perairan Kuala Langat, awal pagi tadi.

Warga asing terbabit masing-masing 14 lelaki dan lima wanita termasuk tekong berusia antara 18 hingga 51 tahun ditahan pada 1 pagi selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Kapten Mohd Rosli Abdullah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil soal siasat mendapati semua warga asing dalam perjalanan menuju ke negara jiran tanpa menggunakan laluan yang diwartakan.

"Bot dan semua warga asing yang ditahan kemudiannya di bawa ke Jeti APMM Daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 keluar masuk melalui kawasan yang tidak diwartakan serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 5:22 PM