Mohd Rosli menunjukkan burung murai yang dirampas. FOTO Na’imah Mohamed
Mohd Rosli menunjukkan burung murai yang dirampas. FOTO Na’imah Mohamed
Na'imah Mohamed

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia bersama lebih 100 ekor burung murai bernilai kira-kira RM100,000 selepas memintas kapal tukar barang di 17.2 batu nautika (bn) dari Pulau Indah, di sini, 7.30 malam semalam.

Turut ditahan tekong bersama 14 awak-awak warga Indonesia berusia antara 28 hingga 47 tahun.

Pengarah APMM Daerah 4 Klang, Kepten Mohd Rosli Abdullah berkata, kapal dari Indonesia itu ditahan ketika dalam perjalanan dari negara ini ke Tanjung Balai.

"Selepas pasukan peronda KM Kukup menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kapal berkenaan, mereka menemui lebih 100 burung murai di samping PATI yang terdiri daripada 43 lelaki dan 11 wanita warga Indonesia dalam ruang tersembunyi dalam kapal itu.

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, burung murai yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 2:46 PM