Branislav Ivanovic
Branislav Ivanovic

Branislav Ivanovic (gambar) menikmati permulaan cemerlang musim ini.

Ivanovic tidak beraksi ha­nya satu daripada 10 perlawanan musim ini sewaktu mencatat kemena­ngan ke atas Bolton Wanderers dalam Piala Liga serta menjaringkan dua gol menentang Burnley dan Everton.

Dia membuktikan kemampuan membantu jentera serangan sekalipun beraksi sebagai bek kanan.

Ivanovic dalam satu wawancara bercakap mengenai kepentingan mengekalkan keseimbangan serta membantu serangan pasukannya dan pada masa sama masih kekal dengan tugasan sebagai pemain pertahanan.

"Pada permulaan musim, kami mempunyai banyak ruang mara ke hadapan dan penting buat kami mengekalkan keseimbangan. Ini kerana sasaran utama adalah memastikan pertahanan mantap bagi memastikan empat pemain benteng sentiasa kekal bersama," katanya.

"Ada masanya, anda boleh menunjukkan kepada pemain sayap anda pula mahu membuat serangan dan tahu bagaimana melakukannya biarpun perlu fokus terhadap benteng pertahanan.

"Keadaan itu juga mampu membantu pasukan menjauhkan pemain sayap lawan daripada posisi mereka, membuat mereka berada jauh daripada pintu gol agar tidak menjadi ancaman.

"Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada pihak lawan dan situasi perlawanan, jadi, saya gembira dapat mara ke depan apabila saya boleh tetapi masih tetap fokus pada bahagian pertahanan".

Ivanovic juga benar-benar kagum dengan sikap pemain baru menyertai kelab itu yang dapat menyesuaikan diri de­ngan kehidupan di kelab sekali gus membolehkan pasukan itu menuai hasil ketika beraksi di padang.

"Ia benar-benar mengagumkan betapa cepat pemain baru dapat menyesuaikan diri," katanya.

"Anda boleh melihat serta-merta daripada hari pertama mereka bekerja sama, bagaimana mereka menjalankan tugas dengan baik dan seperti sudah biasa bermain cara itu.

"Itu sebab mereka berada di sini dan kami semua gembira mengenainya.

"Dengan kumpulan ini sudah lama bersama untuk tempoh yang lama, kami menjadi lebih baik, kami tahu permainan satu sama lain, dan keadaan itu menyediakan peluang buat kami untuk bermain dengan lebih mudah dalam perlawanan dihadapi.

"Ada masanya kami bekerjasama membuat persiapan khas untuk perlawanan bagi membolehkan kami memahami rakan sepasukan, memahami cara mereka bekerjasama dan apa perasaan apabila berada bersama di padang.

"Saat anda dapat melihat apa mereka biasa lakukan pada sesi latihan, anda akan tahu mereka akan sentiasa melakukannya ketika perlawanan. Anda perlu merasainya".

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:32 AM