CHERCHESOV pamer aksi strategi bertahan. FOTO/AFP
CHERCHESOV pamer aksi strategi bertahan. FOTO/AFP
Reuters

MOSCOW: Sepanyol pasukan yang lebih baik berbanding Russia dan jurulatih pasukan tuan rumah, Stanislav Cherchesov membuat keputusan tepat membariskan skuad bermain secara bertahan hingga membolehkan mereka meraih kejayaan menerusi penentuan penalti pada pusingan kedua Piala Dunia.

Mengimbau kembali kejayaan dua kali berturut-turut Sepanyol ke atas Russia pada 2008, beliau tidak berhasrat untuk bermain dengan lebih terbuka menentang juara 2010 itu di Stadium Luzhniki, Moscow dan berasakan lima pertahanan, selepas ketiadaan Igor Smolnikov yang digantung, adalah percaturan paling tepat untuk mengekang serangan Sepanyol.

“Saya rasa kami menggunakan taktikal yang betul. Kami perlu melakukan serangan balas dengan pantas tapi jika kami menggunakan taktik yang berlainan sudah tentu kami tidak berjaya.

“Pemain juga tidak hanya melakukan sesuatu di tengah padang berdasarkan arahan jurulatih saja.

“Mereka juga harus merasainya dan malam ini mereka melakukannya.

“Menjadi satu pasukan yang kuat adalah perkara lain tapi anda harus menjadi yang terbaik di tengah padang.

“Malam ini, kami adalah satu pasukan yang berada di kedudukan dan waktu yang tepat,” kata Cherchesov, yang menerima panggilan telefon dari Presiden Russia, Vladimir Putin beberapa jam sebelum perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 4:05 AM