MUSTAPA (tiga dari kiri) bersama penerima Kad ‘Merchant Ambassador’ selepas merasmikan GenEX di Menara MATRADE. Turut hadir, Ahmad (enam dari kanan), Noraini (lima dari kanan) dan Agil (tujuh dari kanan).
MUSTAPA (tiga dari kiri) bersama penerima Kad ‘Merchant Ambassador’ selepas merasmikan GenEX di Menara MATRADE. Turut hadir, Ahmad (enam dari kanan), Noraini (lima dari kanan) dan Agil (tujuh dari kanan).
Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sektor dagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak dua peratus menjelang akhir tahun ini berbanding 1.2 peratus pada tahun lalu menerusi rangsangan oleh kerajaan yang memberi tumpuan dalam pelbagai bidang perdagangan di pasaran rantau ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun persekitaran ekonomi global dilihat begitu mencabar, namun pintu perdagangan sentiasa menunjukkan peluang yang perlu direalisasikan.

Menurutnya, kerajaan akan memberikan fokus utama terhadap negara anggota ASEAN yang berperanan sebagai blok dagangan terbesar yang berupaya memberi sumbangan ketara kepada jumlah dagangan Malaysia.

“Kita telah mewujud dan memeterai perjanjian dagangan iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 1 Januari tahun ini dan bagi mengekal serta merancakkan momentum serta semangat yang dicapai, banyak usaha perlu dilakukan.

“Oleh itu, pada Mac ini, satu lawatan ke Singapura dan Thailand akan dibuat bagi sesi penerangan dan perbincangan hala tuju perdagangan dalam AEC serta menjadikan integrasi dagangan ASEAN ini dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Generasi Baharu Pengeksport (GenEX) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Noraini Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Dzulkifli Mahmud dan Presiden Generasi Muda Berjaya (GMB) Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Malaysia mencatatkan prestasi perdagangan di luar jangkaan tahun lalu dengan kenaikan 1.2 peratus jumlah perdagangan kepada RM1.466 trilion walaupun berdepan persekitaran pasaran global tidak menentu.

Selain itu, jumlah perdagangan melebihi paras RM1 trilion untuk tahun kesembilan itu dipacu eksport yang meningkat 1.9 peratus kepada paras tertinggi baharu RM779.95 bilion dan import meningkat 0.4 peratus kepada RM686.65 bilion.

Mustapa berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk mengekalkan lebihan dagangan sebanyak 14 peratus sama seperti yang dicapai seperti tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan Malaysia masih berada di landasan ekonomi yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 6:55 AM