MUSTAPA semasa taklimat mengenai prestasi perdagangan luar Malaysia bagi 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
MUSTAPA semasa taklimat mengenai prestasi perdagangan luar Malaysia bagi 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Prestasi perdagangan luar Malaysia bagi 2014 berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan kenaikan sebanyak 5.9 peratus kepada RM1.45 trilion berbanding RM1.37 trilion pada 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan itu melebihi sasaran asal sebanyak 5.2 peratus dan turut disumbangkan oleh pertumbuhan eksport Malaysia yang kukuh iaitu meningkat 6.4 peratus kepada RM766.13 bilion.

Beliau berkata, import turut meningkat 5.3 peratus atau RM34.32 bilion dan pertumbuhan eksport yang kukuh menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM83.11 bilion iaitu lebihan dagangan yang ke-17 berturut-turut dicatatkan.

“Rakan dagang utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dalam perdagangan ini ialah Asean, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Taiwan dan Republik Rakyat China (RRC).

“Selain itu, negara turut menerima permintaan menggalakkan daripada pasaran baru di benua Afrika, Asia Tengah serta Asia Selatan dan peningkatan eksport yang kukuh hampir ke semua negara ASEAN,” katanya pada sesi taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, pengembangan eksport juga disokong permintaan tinggi terhadap barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik dan permintaan berterusan untuk komoditi serta pemulihan dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Mustapa berkata, 16 pasaran yang mencatatkan peningkatan eksport melebihi RM1 bilion pula ialah Singapura, AS, India, Hong Kong, Australia, Jepun, Taiwan, Belanda, Filipina, Republik Korea, Kenya, Jerman, Norway, Mexico, United Kingdom dan Vietnam yang menyumbang sebanyak 64.7 peratus kepada jumlah eksport negara.

Beliau berkata, bagi perdagangan dengan rakan niaga di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus kepada RM906.6 bilion dengan eksport berkembang 4.7 peratus kepada RM491.35 bilion.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya menyasarkan prestasi perdagangan dan eksport bagi 2015 akan berkembang antara dua hingga tiga peratus berikutan melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang dan negara rakan dagang yang mengunjurkan keluaran dalam negara mereka lebih rendah bagi 2015.

“Bagaimanapun, kami berharap hubungan dagangan dengan negara terbabit akan terus konsisten. Selain itu, kami juga akan menggunakan platform digital untuk menembusi pasaran eksport, sekali gus mencapai pasaran e-dagang global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:35 AM