Mustapa (kanan) bersama Pengarah Eksekutif Eclimo, Datuk Dennis Chuah pada pelancaran ECLIMO e-Skooter, semalam.
Mustapa (kanan) bersama Pengarah Eksekutif Eclimo, Datuk Dennis Chuah pada pelancaran ECLIMO e-Skooter, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin dan Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Syarikat tempatan memperoleh manfaat untuk mengakses pasaran asing antaranya Amerika Syarikat, Kanada dan Peru apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimuktamadkan dengan penghapusan cukai import.

Pada masa sama, penyertaan Malaysia dalam komuniti ekonomi Asean (AEC) pada tahun lalu turut memberi faedah kepada pemain industri tempatan memasuki pasaran di rantau Asean dengan penghapusan pelbagai halangan bukan tarif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menerusi rangka tindakan AEC 2025 menggariskan beberapa perkara untuk dilaksanakan pada tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, ia meliputi mengintegrasi dan menghubungkan ekonomi dalam sistem ekonomi global serta meningkatkan keyakinan pelabur menerusi mesra perniagaan, kemudahan perdagangan, pemacu pasaran dan persekitaran boleh dijangkakan.

“Selain menerokai pasaran Asean, syarikat tempatan juga memperoleh manfaat menerusi TPPA sekiranya perjanjian ini dimuktamadkan dengan meningkatkan penguasaan pasaran mereka di peringkat global.

“TPPA juga mengurangkan kos import ke atas bahan mentah atau input kepada pembuatan tempatan yang menjadikan kos produk lebih kompetitif dalam rantau ini dan pasaran global,” katanya pada majlis pelancaran skuter elektrik, Eclimo e-Skooter, di sini, semalam.

Eclimo e-Skooter ialah skuter elektrik mesra alam dikeluarkan syarikat tempatan, Eclimo Sdn Bhd (Eclimo) yang disasarkan kepada sektor kerajaan dan enterpris untuk pasaran tempatan dan Kemboja.

Eclimo adalah syarikat yang menyertai Program Hubung Pasaran (MLP) yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran asing.

Pada 2015, pemain industri di bawah MLP menjana RM1.27 bilion jualan daripada pelbagai sektor berpotensi antaranya reka bentuk IC, fabrikasi cip, komputer peribadi, rumusan pembungkusan dan perkakasan berautomasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:43 AM