DZULKIFLI
DZULKIFLI
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merancakkan program berkaitan eksport sejajar pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, pihaknya kini sedang merangka pelbagai rancangan program dan inisiatif untuk eksport sebagai usaha meningkatkan penyertaan usahawan tempatan membabitkan perdagangan luar negara.

Beliau berkata, peluang yang wujud itu perlu direbut sebaik mungkin kerana ia memberikan manfaat bukan sahaja kepada negara, malah kepada kumpulan usahawan tempatan yang terbabit.

Katanya, walaupun TPPA hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2018, namun usaha untuk mempergiatkan eksport harus dilaksanakan dengan cekap dan efisien.

“Kami juga perlu melakukan lebih banyak kerjasama dagangan dengan negara ASEAN apabila AEC telah terbentuk pada tahun ini dan meneroka pasaran-pasaran lain supaya mendapat akses berbeza-beza,” katanya pada sidang media seminar TradeTalk@Matrade di sini, semalam.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah dagangan yang direkodkan bagi Januari 2016 adalah RM118.3 bilion, meningkat RM59.3 juta daripada tahun sebelumnya selain lebihan dagangan sebanyak RM5.4 bilion di samping lebihan dagangan sebanyak RM5.4 bilion.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE, Datuk Noraini Ahmad berkata, Matrade menyasarkan untuk mencapai peningkatan sebanyak 10 peratus bagi pendaftaran usahawan wanita berbanding 2,135 usahawan wanita pada tahun ini.

“Setakat ini, dari jumlah keseluruhan usahawan yang berdaftar di bawah MATRADE berjumlah 16,391 orang dan kita berharap peningkatan 10 peratus akan bersama melonjakkan prestasi industri keusahawan dan eksport negara,” katanya.

Noraini berkata, pembabitan wanita sebagai usahawan bukan sahaja dapat meningkatkan imej golongan itu, namun ia sebenarnya berperanan dalam meletakkan usahawan sebagai bidang untuk diteroka oleh semua orang.

“Malah, di Matrade sendiri kita juga mempunyai program khusus yang memberi fokus kepada usahawan wanita seperti Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) yang mendedahkan mereka kepada pasaran luar negara dengan bimbingan dan khidmat nasihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:55 AM