OZIL (kiri) main peranan penting dalam kebangkitan Arsenal musim ini.
OZIL (kiri) main peranan penting dalam kebangkitan Arsenal musim ini.

London: ‘Pencorak permainan’ Mesut Ozil dan Alexis Sanchez mungkin memainkan peranan penting jika Arsenal mahu menamatkan penantian 12 tahun menjuarai Liga Perdana, ujar pemain tengah Tomas Rosicky.

Sanchez, yang hadir dari kelab Sepanyol Barcelona pada 2014, seorang daripada pemain sayap digeruni dalam liga, selepas menyumbat 16 gol bagi musim sulungnya bersama kelab utara London itu.

Ozil menjaringkan empat gol namun mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang daripada pemain paling kreatif di dunia, selepas mencatat rekod liga dengan 16 assists musim ini.

“Dia (Ozil) diketepikan beberapa kali (kerana cedera) musim lalu jadi dia tidak mendapat rentak tapi kini selepas bermain sejak awal musim, setiap orang boleh melihat bakat besarnya,” jelas Rosicky.

“Dia dan Alexis adalah pencorak permainan kami. Kedua-duanya mempunyai kekuatan untuk memenangi perlawanan, jadi amat penting mereka bertindak baik jika pasukan ini mahu memburu kejuaraan.”

Rakan sepasukan Joel Campbell menyanjung persembahan hebat pertahanan Hector Bellerin, meramalkan pemain berusia 20 tahun itu akan muncul seorang daripada pertahanan kanan terbaik di dunia suatu hari nanti.

“Dia menikmati satu tahap tinggi, tapi saya fikir dia boleh pergi lebih setahap lagi. Dia mempunyai potensi menjadi antara yang terbaik di dunia,” ujar Campbell.

“Dia membuktikannya sekarang, tapi dia masih muda dan banyak peluang menantinya. Jadi saya fikir persembahan terbaik daripada Hector belum tiba lagi, kami belum melihatnya lagi.”

Anak buah Arsene Wenger, yang berada di tangga ketiga selepas 25 perlawanan, akan menanti kunjungan pendahulu Leicester City Ahad ini dengan mengintai peluang untuk merapatkan jurang kepada dua mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:10 AM