AIR sungai mengalir deras ketika tinjauan di Kampung Batu Kitang Jaya, semalam berikutan hujan lebat yang turun sekitar bandar Kuching baru-baru ini. FOTO Bernama
AIR sungai mengalir deras ketika tinjauan di Kampung Batu Kitang Jaya, semalam berikutan hujan lebat yang turun sekitar bandar Kuching baru-baru ini. FOTO Bernama
Abd Rahman Adam


Kuching: Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Daerah Serian menjadikan jumlah mangsa banjir di Sarawak kini meningkat kepada 5,578 mangsa daripada 1,510 keluarga setakat 9 pagi tadi.

Kedua-dua pusat pemindahan di Daerah Serian itu masing-masing di SK Tanah Merah dan Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru yang menempatkan 496 mangsa daripada 171 keluarga.

Manakala mangsa terjejas lain masih ditempatkan di 26 pusat pemindahan di daerah Kuching dan enam di Bau.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri berkata, pusat pemindahan di daerah Serian terpaksa dibuka berikutan paras air di kawasan itu naik mendadak menyebabkan rumah penduduk dinaiki air.

Katanya, hujan lebat malam tadi turut menyebabkan limpahan air naik mendadak dari sungai berhampiran sekali gus menjejaskan penempatan penduduk.

"Setakat ini, keadaan cuaca di Serian baik, namun jumlah mangsa banjir dikhuatiri bertambah sekiranya hujan lebat melanda kawasan terbabit,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 10:45 AM