MANGSA banjir mendapatkan bekalan makanan yang dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat  di Pusat Pemindahan Dewan Suarah di Kuching.
MANGSA banjir mendapatkan bekalan makanan yang dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Pusat Pemindahan Dewan Suarah di Kuching.
Abd Rahman Adam


Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak ditempatkan di pusat pemindahan mencatatkan sedikit penurunan kepada 5,533 mangsa setakat 4 petang berbanding 5,578, pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir membabitkan 1,484 keluarga itu kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan dengan 20 di daerah Kuching, lima di Bau dan dua di Serian.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri berkata, jumlah mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Dewan Suarah, di sini, mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 753 mangsa membabitkan 200 keluarga.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di Dewan Serbaguna Taman Malihah, Dewan Sinaran Lumut dan ST Peter Bunuk, di sini, sudah dibenarkan pulang selepas air mula surut tengah hari tadi.

"Walaupun berlaku limpahan air, keadaan banjir di negeri ini masih dalam keadaan terkawal selain tiada sebarang kemalangan atau kemusnahan teruk berlaku.

"Bagaimanapun, penduduk diminta supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan paras air pasang besar dijangka naik mendadak sekiranya hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 6:48 PM