SUASANA di pusat pemindahan di Dewan Suarah Kuching. FOTO Abd Rahman Adam
SUASANA di pusat pemindahan di Dewan Suarah Kuching. FOTO Abd Rahman Adam
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Fenomena air pasang besar petang tadi menyebabkan beberapa kampung di sepanjang tebing Sungai Sarawak terus dinaiki air sehingga 11 malam tadi.

Keadaan itu turut melumpuhkan operasi 17 kedai makan di Medan Selera Kampung Boyan, di tebing sungai berkenaan apabila air pasang besar menyebabkan kerusi di medan selera itu hampir tenggelam.

Tinjauan Harian Metro bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di beberapa lokasi perkampungan di tebing Sungai sehingga sekarang mendapati banyak kediaman penduduk masih dinaiki air separas pinggang.

Paras air yang masih tinggi itu menyebabkan hanya kenderaan berat atau pacuan empat roda boleh melalui laluan atau jalan masuk ke kampung terbabit.

Timbalan Pengarah JPAM Sarawak Awang Askandar Ampuan Yaakub berkata, banjir melanda di semua kawasan rendah di tebing Sungai Sarawak selepas air pasang besar sejak 6 petang tadi.

"Setakat ini, seramai 256 anggota JPAM sudah dikerah ke semua lokasi penduduk yang terjejas di Kuching dan Bau, dengan bantuan semua agensi penyelamat yang lain.

"Semua anggota sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat diberikan secepat mungkin kepada mangsa banjir,"katanya.

Katanya, Jabatan Meteorologi meramalkan hanya hujan renyai- renyai dijangka berlaku mulai hari ini hingga hujung minggu ini.

Sementara itu, sehingga 11 malam tadi, sejumlah 3,230 mangsa banjir daripada 829 keluarga masih ditempatkan di 25 pusat pemindahan di Kuching dan Bau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 11:31 PM