KEADAAN banjir di Kampung Boyan, Kuching pada 9 Februari.
KEADAAN banjir di Kampung Boyan, Kuching pada 9 Februari.
Abd Rahman Adam

 

Kuching:Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan sedikit penurunan daripada 5,813 malam tadi kepada 5,345 mangsa setakat jam 6 pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir daripada 1,483 keluarga itu kini ditempatkan di tiga daerah pusat pemindahan iaitu 17 di Kuching, manakala Bau dan Serian masing-masing empat.

Jurucakap Sakretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, jumlah mangsa banjir mula menunjukkan penurunan bermula tengah malam tadi selepas air pasang besar mula surut di kawasan rendah membabitkan tiga bahagian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, berlaku sedikit peningkatan mangsa banjir di daerah Serian apabila mencatatkan 353 orang berbanding petang kelmarin.

"Pertambahan jumlah itu berlaku apabila beberapa kawasan rendah masih terus digenangi air berikutan paras air pasang besar naik mendadak selain hujan lebat di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus membuat pemantauan di semua kawasan terjejas dari semasa ke semasa dan akan membuat pemindahan sekiranya perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:36 AM