ANGGOTA JPAM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Batu Kitang, Kuching. FOTO Jeaqkleyn Yacho
ANGGOTA JPAM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Batu Kitang, Kuching. FOTO Jeaqkleyn Yacho
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat daripada 617 kepada 765 orang setakat 11 malam tadi.

Mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan masing-masing lima di bahagian Kuching dan tiga di Bau.

Daripada jumlah itu, bahagian Kuching mencatatkan jumlah seramai 644 mangsa daripada lebih 150 keluarga, manakala di Bau seramai 188 mangsa membabitkan 42 keluarga.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, limpahan air sungai Sarawak akibat hujan berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan sebuah pusat pemindahan iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Tupong, Petra Jaya, di sini, dibuka 9 malam tadi.

Katanya, pusat pemindahan terbabit kini menempatkan 67 mangsa daripada lebih 15 keluarga selepas kediaman mereka mula dimasuki air kira-kira 6 petang tadi.

“Walaupun, pintu baraj di Sungai Sarawak sudah dibuka pada 5 petang tadi, namun paras air di Sungai Sarawak masih di tahap bahaya sekali gus dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak rumah penduduk terjejas.

“Beberapa kawasan rendah lain turut terjejas antaranya di Landeh, Siburan, Rantau Panjang, Desa Wira dan Stampin, namun belum ada pemindahan penduduk dibuat di kawasan terbabit,” katanya

Sementara itu, jurucakap Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) berkata, pintu baraj akan dibuka sehingga paras air pasang mencatatkan penurunan kira-kira 2 pagi ini.

“€œBagaimanapun, paras air pasang dijangka meningkat semula pada 5 pagi dan pintu baraj akan dibuka semula esok bagi melepaskan air sungai Sarawak ke laut,” €katanya.

Katanya, paras air pasang yang dijangka meningkat pada pagi ini dikhuatiri akan menyebabkan kediaman penduduk di kawasan rendah dilanda banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 11:33 PM