PASUKAN takraw SMKDA bergambar bersama pengetua, Nordin Kamarudin (dua dari kanan).
PASUKAN takraw SMKDA bergambar bersama pengetua, Nordin Kamarudin (dua dari kanan).
Oleh D J Dolasoh

Lenggong: Meskipun hasrat menjadi juara tiga kali berturut-turut tidak kesampaian, pasukan sepak takraw Bawah 18 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong, tetap tidak lemah semangat, malah mencari formula baru bagi merampas semula kejuaraan tahun depan.

Selepas beraksi cemerlang dalam dua edisi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Perak (MSSDHP), SMKDA terpaksa akur dengan kekalahan 25-30 kepada SMK Pengkalan Hulu kali ini.

SMKDA diwakili Mohamad Shahdan Jamari, 17, (tekong), Ahmad Shazrul Abdul Wahid Shawal, 17, (apit kanan) dan Muhamad Taquidin Abu Bakar, 17, (apit kiri) di samping Ahmad Zakuan Hashim, 16, dan Mohd Zulfahmi Ahmad Tarmizi, 17, (simpanan).

“Pada keseluruhannya saya berpuas hati dengan permainan mereka meskipun ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Bagaimanapun, saya berbangga kerana Ahmad Shazrul diumumkan pemain terbaik kejohanan,” kata jurulatih SMKDA Ab Rahaman Sidek.

Ab Rahaman berkata, dua pemain sekolah itu juga dipilih untuk pertandingan peringkat negeri dan kini sedang menjalani latihan intensif.

“Saya dan pengurus pasukan, Ramli Mustafa akan terus membimbing pelajar dan mencari pelapis berpotensi dengan memilih dan melatih mereka dari tingkatan satu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:06 AM