PASUKAN hoki bekas pelajar SMKDA 1980-1984 bergambar kenangan.
PASUKAN hoki bekas pelajar SMKDA 1980-1984 bergambar kenangan.
Oleh D J Dolasoh

Lenggong: Pasukan hoki yang dianggotai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA), Lenggong tahun 1980-1984, mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan persahabatan menentang skuad B-16 SMKDA, baru-baru ini.

Meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan, kedua-dua pasukan bermain dengan bersungguh-sungguh dan saling bertukar serangan hingga membolehkan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol terutamanya di babak pertama.

Kesungguhan dan kemampuan bekas pelajar SMKDA dalam perlawanan hoki itu agak ketara walaupun semua pemainnya sudah menjangkau usia 40-an.

Pengerusi Grup SMKDA 1980-1984, Saiful Bahrin Mohamad Hashim berkata, mereka mampu seri dengan lawan yang jauh lebih muda kerana banyak menggunakan skil selain melaksanakan taktik perlawanan sebenar.

“Meskipun tenaga kami kurang berbanding orang muda, kami mampu bersaing kerana ada antara kami pernah mewakili sekolah ini pada 1980-1984. Malah, beberapa orang daripada kami kini bergelar guru dan memegang jawatan sebagai jurulatih pasukan hoki di sekolah masing-masing.

“Justeru, fizikal dan stamina semata-mata tidak menjamin kemenangan kerana banyak lagi aspek lain yang perlu ada sebelum sesebuah pasukan itu menang dalam permainan seperti ini,” katanya.

Saiful Bahrin berkata, pasukan hoki B-16 SMKDA tidak boleh dipandang rendah kerana mereka muncul juara peringkat daerah Hulu Perak dalam beberapa kejohanan hoki yang dianjurkan sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:49 AM