NORDZIAH menerima replika cek pampasan Takaful BSJ daripada Mohamad Sazali (dua dari kanan) sambil diperhatikan Nordin (tiga dari kanan) di SMKDA, Lenggong, baru-baru ini.
NORDZIAH menerima replika cek pampasan Takaful BSJ daripada Mohamad Sazali (dua dari kanan) sambil diperhatikan Nordin (tiga dari kanan) di SMKDA, Lenggong, baru-baru ini.
D J Dolasoh

“Wang pampasan ini bukanlah ganti nilai anak yang sudah pergi buat selama-lamanya apatah lagi arwah harapan saya kerana dia pelajar cemerlang di sekolahnya,” kata ibu tunggal, Nordziah Omar, 55.

Nordziah dari Kampung Sira, Lenggong, Perak, terharu apabila menerima wang pampasan RM16,170.50 daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) selepas anak sulungnya Aminur Rahman Mohd Amin, 17, meninggal dunia dalam kemalangan, akhir Mei tahun lalu.

Mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari rumah untuk menukar tayar motosikalnya di Kuala Kangsar.

Bayaran pampasan itu dibuat kepada ibunya selepas mangsa menyertai skim Takaful BSN Smart Junior (BSJ) sebanyak RM150 dan mula menabung sejak 2014.

Aminur Rahman daripada keluarga miskin dan kematian bapa lebih 10 tahun lalu adalah pelajar cemerlang dan penerima wang biasiswa di sekolahnya serta ahli skim Takaful BSJ.

Majlis penyerahan pampasan itu dilakukan Pengarah Perniagaan Negeri BSN Perak Mohamad Sazali Samjis dan turut dihadiri Pengetua SMKDA Nordin Kamaruddin, wakil Jabatan Pendidikan Perak, Pejabat Pendidikan Hulu Perak dan wakil Parlimen Lenggong pada Majlis Iftar dan Tahlil di asrama SMKDA, Lenggong, baru-baru ini.

Nordziah berkata, dia tidak tahu anaknya menyertai skim Takaful BSJ sehingga pihak BSN memberitahunya seminggu sebelum majlis penyerahan itu didakan.

“Wang ini akan digunakan untuk membeli keperluan menyambut Aidilfitri dan membiayai pelajaran anak tunggal saya Aminur Rahim, 16, yang belajar di SMKDA Lenggong serta membuat upah haji arwah selain disimpan dalam BSN,” katanya.

Dalam tragedi pada 30 Mei tahun lalu, Nordziah yang menaiki kereta saudaranya dari Lenggong ke Ipoh tidak menyangka terserempak dengan kemalangan di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar membabitkan anaknya apabila motosikal ditunggang anaknya dirempuh sebuah kereta dari depan.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dia sempat meriba anaknya yang parah dan mengajarnya mengucap sebelum meninggal dunia sebaik dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

Sementara itu, Mohamad Sazali berkata, pemberian pampasan kepada ibu mangsa adalah manfaat khusus untuk ahli BSJ sebaik mendaftarkan diri sebagai ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:04 AM