Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Sebelas daripada 30 tertuduh yang didakwa terbabit dalam pelbagai tuduhan ketika pencerobohan Lahad Datu tiga tahun lalu, dibebaskan daripada pertuduhan masing-masing di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Stephen Chung berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap 11 tertuduh itu yang terdiri daripada warga Filipina.

Stephen memerintahkan semua individu itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, 19 tertuduh lain termasuk tiga warga tempatan diarahkan membela diri di Mahkamah Tinggi sama pada 22 Februari depan.

Ini termasuk tiga tertuduh Basil Samiul, Pablo Alie dan Mohamad Ali Ahmad yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan yang dikenakan ke atas mereka mengikut Seksyen 130 J dan Seksyen 130 G Kanun Keseksaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan keganasan serta menghasut, menggalakkan atau mencari harta untuk berlakunya perbuatan keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 12:12 PM