ANGGOTA polis mengiringi 38 individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
ANGGOTA polis mengiringi 38 individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Rafidah Mat Ruzki

Shah Alam: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, semalam menetapkan 27 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap 38 individu yang didakwa terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dari tiga tahun lalu hingga Mac lalu.

Mereka kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan diikat jamin.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu bagi mendengar keputusan representasi daripada peguam T Harpal Singh kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta pertuduhan terhadap semua tertuduh dikaji semula.

Terdahulu, Harpal memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menghantar representasi itu pada 23 Ogos lalu.

Pada prosiding berkenaan, pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dibacakan semula terhadap semua tertuduh termasuk kepada Datuk Seri A N Bala Krishnan, 48, dan Datuk S Pream Nath, 36, sebelum pengakuan tidak bersalah direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan terancang Geng 08 di daerah Petaling bermula 1 Januari 2015 hingga 29 Mac lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes itu didengar semula di Mahkamah Khas SOSMA yang akan bersidang di Penjara Kajang pada 27 September ini.

Sementara itu, 100 ahli keluarga berkumpul di Kompleks Mahkamah Shah Alam sejak awal pagi untuk bertemu dengan tertuduh ketika mereka dibawa ke mahkamah.

Pada 26 April lalu, media melaporkan, dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk antara individu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menjadi ahli Geng 08 sejak tiga tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh diwakili beberapa peguam termasuk Harpal dan Eric Paulsen.

Harpal yang ditemui di luar mahkamah berkata, beliau sudah menerima maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara yang menyatakan akan mengkaji dan menjawab surat representasi dihantarnya pada 23 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:07 AM