Pasukan keselamatan mengawal laluan masuk ke Penjara Pusat Kota Kinabalu yang menempatkan Mahkamah Tinggi perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
Pasukan keselamatan mengawal laluan masuk ke Penjara Pusat Kota Kinabalu yang menempatkan Mahkamah Tinggi perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu. - Foto MALAI ROSMAH TUAH
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Seramai 12 tertuduh kes pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, manakala seorang lagi dibebaskan hari ini.

Sembilan daripada mereka termasuk Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, anak kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Esmail Kiram, didapati bersalah

melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda.

Lapan lagi ialah warganegara Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam

Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Datu Amir Bahar, Salib Akhmad, Al Wazir, Tani dan Julham juga disabitkan bagi kesalahan kedua dengan menjadi anggota kumpulan pengganas yang

membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Selain itu, Timhar Hadil, 39 , dan Abdul Hadi Mawan, 52 (warga tempatan) serta Norhaida Ibnahi, 49, juga didapati bersalah menjadi anggota kumpulan pengganas. Seorang lagi tertuduh, Hadil Suhaili, 68, (bapa Timhar) yang meninggal dunia pada 23 April lalu, turut didapati bersalah namun tiada rekod dicatatkan.

Seorang lagi tertuduh, Basil Samiul, 35, dibebaskan selepas didapati tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 130 KA dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi penghantaran pulang ke negara asalnya, Filipina.

Februari lalu, Aiman Radie, 19; Pabblo Alie, 65; Mohd Ali Ahmad, 40; Lin Mad Salleh, 58; dan Holland Kalbi, 50, mengaku bersalah untuk pertuduhan mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan.

Hakim Stephen Chung menetapkan hanya keputusan mahkamah dibacakan hari ini manakala hukuman dijangka pada esok selepas sesi rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 10:32 PM