ANGGOTA Trup Tindakan Khas (TTK) Jabatan Penjara Malaysia melakukan pemeriksaan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Kepayan.
ANGGOTA Trup Tindakan Khas (TTK) Jabatan Penjara Malaysia melakukan pemeriksaan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Kepayan.

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menetapkan hari ini bagi mendengar pengakuan 13 daripada 19 tertuduh yang diarah membela diri selepas didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012 kerana melakukan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Hakim Stephen Chung Hian Guan membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memohon kebenaran menemui semula semua tertuduh berhubung niat pengakuan pertuduhan dikenakan terhadap anak guam mereka.

Seramai 10 daripada 13 tertuduh itu adalah warga Filipina manakala tiga yang lain penduduk tempatan.

Daripada jumlah itu, seramai 10 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas dan boleh dipenjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Manakala dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J akta sama kerana memberi sokongan kepada perbuatan keganasan sementara seorang lagi dituduh mengikut Seksyen 130G (c) akta sama kerana menghasut, menggalakkan atau mencari harta untuk kumpulan pengganas.

Seksyen 130J memperuntukkan penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda manakala Seksyen 130G(c) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, empat daripada tertuduh turut berdepan dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 130 KA dan Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar manakala tertuduh warga Filipina diwakili Datuk N Sivananthan yang dilantik kerajaan Filipina manakala tiga penduduk tempatan diwakili Ram Singh, Abdul Gani Zelika dan Putli Noor Asikin Datu Gulam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 7:53 AM