TAN Sri Mohamed Apandi Ali. FOTO Bernama
TAN Sri Mohamed Apandi Ali. FOTO Bernama
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KUANTAN: Jabatan Peguam Negara sudah mengemukan rayuan semakan semula terhadap hukuman dijatuhkan kepada 14 individu yang terbabit dalam pencerobohan Lahad Datu, Sabah, tiga tahun lalu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, rayuan itu dikemukakan sehari selepas keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung Hian Guan pada prosiding di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah, 26 Julai lalu.

"Rayuan berkenaan dibuat kerana hukuman yang dijatuhkan itu dilihat tidak mencukupi memandangkan kesalahan dilakukan semua tertuduh sangat besar, iaitu mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas dan Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Kita mahu mereka ini, terutamanya ketua kumpulan berkenaan dikenakan hukuman setimpal, rayuan adalah untuk mereka ini dikenakan hukuman mati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Pendakwaan Tahun 2016, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Julai lalu, menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat kepada sembilan warga Filipina serta penjara 13 dan 15 tahun kepada empat individu lain yang terbabit dalam pencerobohan Lahad Datu.

Hian Guan turut membebaskan seorang tertuduh warga Filipina iaitu Basil Samiul, 35, yang sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:32 PM