Singapura: Jurulatih Myanmar Radojko Avramovich tetap berpuas hati meskipun pasukannya gagal mengambil kesempatan terhidang untuk menewaskan Malaysia yang beraksi dengan 10 pemain ketika seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF 2014 di Stadium Jalan Besar semalam.

Bagi bekas pengendali yang membawa Singapura juara tiga kali Piala AFF itu, satu mata yang dikutip biarpun menentang Harimau Malaya yang ketiadaan seorang pemain sepanjang 55 minit permainan sudah memadai buat mereka.

“Keputusan seri ini bagus untuk kami dan juga mungkin buat Malaysia apabila tiada pasukan yang kalah hari ini (semalam).

“Perlawanan pertama memang selalunya sukar dan kami pula berdepan lawan yang memiliki pemain berpengalaman beraksi di Sukan SEA serta juara Piala AFF 2010,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Myanmar yang beraksi dalam Kumpulan B atas tiket juara pusingan kelayakan mempunyai peluang untuk mencipta kejutan ke atas skuad kendalian Dollah Salleh selepas pemain tengah Gary Steven Robbat menerima kad merah pada minit ke-35.

Biarpun mempamerkan permainan menarik dengan corak hantaran pendek pantas namun jentera serangan mereka yang diketuai penyerang muda Kyaw Ko Ko dan Min Min Thu gagal menembusi gawang Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:06 AM