Hamidin umum tidak bertanding naib presiden zon Asean AFC. FOTO NSTP
Hamidin umum tidak bertanding naib presiden zon Asean AFC. FOTO NSTP
Syazwan Msar


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan tidak akan bertanding sebagai naib presiden zon Asean dalam Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-29 yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Walaupun mendapat pencalonan daripada ahli gabungan AFC namun Hamidin tetap dengan pendiriannya namun sebaliknya memilih untuk bertanding merebut kerusi exco sahaja.

Hamidin menerusi kenyataan berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada usaha menjadi ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023.

Namun, beliau akan memberi sokongan padu kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF), Zaw Zaw yang juga Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berikutan memiliki ciri-ciri dan ketokohan sebagai pemimpin tertinggi AFC.

“Saya menghormati dan memandang tinggi Zaw Zaw. Selepas melakukan semua pertimbangan, saya memutuskan untuk tarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden walaupun mendapat percalonan ahli gabungan dan sebaliknya memilih untuk bertanding merebut kerusi exco selepas mendapat sokongan.

"Apa yang menjadi keutamaan adalah jalinan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan persatuan anggota AFF," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pemilihan pada 6 April ini juga bakal menyaksikan jawatan Presiden AFC diisi Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain yang dipilih semula tanpa bertanding.

Antara lain menyaksikan pemilihan lima Naib Presiden AFC dan enam Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta lima anggota jawatankuasa eksekutif wanita AFC termasuk sembilan Ahli jawatankuasa eksekutif AFC.

Mengikut rekod, Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM pada Julai tahun lalu sebelum ini turut menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 1:06 PM