Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Kredibiliti Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi jawatan Exco Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2015-2019 dalam majlis Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-26 di Bahrain, semalam .

Dalam pemilihan itu, Tengku Abdullah berjaya meraih 25 undi manakala dua lagi kerusi Exco FIFA dari Asia menjadi milik wakil Jepun, Kohzo Tashima (36 undi) dan Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah dari Kuwait yang dipilih Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa (Bahrain).

Tengku Abdullah yang melepaskan jawatan Naib Presiden AFC untuk bertanding di peringkat FIFA mengatasi pencabar dari Korea Selatan, Chung Mong-Gyu dan Worawi Makudi (Thailand) selepas kedua-duanya mendapat 13 undi manakala Saoud Al Mohannadi (Qatar) menarik diri.

Kejayaan Tengku Abdullah ini dilihat banyak dibantu kempen yang berkesan menerusi manisfesto, ‘1Asia 1Voice’.

Mengulas kejayaan itu, beliau mengakui sudah bersedia melakukan arus perubahan bola sepak Asia dalam masa yang sama membabitkan bola sepak di Malaysia.

“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan selama ini.

“Harapan saya adalah untuk berkerja bersama Presiden AFC (Sheikh Salman) bagi mendapatkan lebih banyak slot bagi pasukan Asia bertanding di pentas Piala Dunia.

“Selain itu, saya juga berhajat menabur bakti untuk bola sepak Asia kerana saya fikir Asia memiliki ramai pemain berkualiti,” kata Tengku Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:57 AM