Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Norul Awatif Romli


Alor Setar: Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar baharu, berkuatkuasa esok.

Ahmad Bashah berkata, surat berkenaan sudah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Negara pagi ini, namun tidak menyatakan siapa pengganti beliau.

"Surat peletakan jawatan itu (Timbalan Menteri PDNKK) sudah dihantar pagi ini kerana saya perlu melepaskan jawatan berkenaan sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besah Kedah baharu esok. Mengenai siapa pengganti saya nanti, biar Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO, Bangunan Tunku, di sini, hari ini.

Diminta mengulas berhubung pertukaran Menteri Besar Kedah, beliau berkata, ia bukan satu paksaan dilakukan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun kehendak dan pandangan pemimpin parti UMNO negeri.

"Kita bukan paksa, tapi diminta supaya dibuat pemilihan atau ada pertukaran dari segi kepimpinan dalam UMMO negeri yang dilakukan oleh Presiden UMNO (Najib)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 2:15 PM
Ahmad Bashah pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO, Bangunan Tunku, hari ini.
Ahmad Bashah pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO, Bangunan Tunku, hari ini.