BEKAS Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. FOTO Sharul Hafiz Zam
BEKAS Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Adie Suri Zulkefli dan Suzalina Halid


BEKAS Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

Sambil menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai sesuatu amat mendukacitakan, Ahmad Bashah berkata, beliau akan berbincang dengan pimpinan UMNO negeri terlebih dahulu.

“Saya bersedia mengundurkan diri untuk pelapis baru meneruskan (perjuangan UMNO)... tunggu sehari dua, saya akan berbincang dengan kepimpinan UMNO Alor Setar dan kepimpinan negeri.

“Jika terdapat permintaan supaya saya melepaskan jawatan, saya sedia memberi laluan kepada pemimpin pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Kedah," katanya dalam sidang media pada majlis sambutan ulangtahun penubuhan UMNO ke 72 di Alor Setar, hari ini.

Pada PRU-14 Rabu lalu, BN kehilangan Kedah selepas hanya berjaya memenangi tiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, UMNO Kedah menerima dengan berat hati keputusan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Saya sendiri pun rasa amat dukacita dengan keputusan beliau meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab kerana kekalahan BN dalam pilihan raya kali ini dan bagi memberi laluan kepada barisan kepimpinan baru untuk mengambilalih.

“Kita hormati dan terima keputusan beliau walaupun dengan berat hati serta dalam keadaan sangat sedih,” katanya.

Ahmad Bashah juga meminta semua ahli UMNO untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pemangku jawatan Presiden.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Kedah akan bekerjasama dengan 15 ADUN PAS dalam blok pembangkang di DUN Negeri Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 12:03 AM