GAIL bersama Kenneth dan Anna (kanan).
GAIL bersama Kenneth dan Anna (kanan).
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Bagi Gail, Kenneth dan Anna dari Filipina, ia hanyalah peranca­ngan biasa untuk mengembara ke Kota Kinabalu, Sabah dan mendaki gunung tertinggi di Kepulauan Melayu, Gunung Kinabalu.

Pengembaraan yang sepatutnya menyeronokkan itu bertukar menjadi mimpi ngeri selepas gempa bumi dengan skala 6.0 menyebab­kan tanah dan batu runtuh di Kinabalu sehingga menimbuskan sebahagian pendaki termasuk kanak-kanak sekolah dari Singapura yang dalam perjalanan.

Gail Malones, 28, berkata, mereka tiba di Kota Kinabalu pada 4 Jun lalu.

Pada hari yang sama, selepas mendaki selama empat hingga enam jam dari Ibu Pejabat Taman Kinabalu, kumpulan itu sampai ke rumah rehat Laban Rata iaitu 3,272 meter di atas aras laut.

“Seramai 137 pendaki berehat di Laban Rata, termasuk pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong, Singapura. Pendaki perlu berada di sana pada malam itu bagi memulakan perjalanan esok hari.

“Pada 5 Jun jam 2 pagi, kami menyambung pendakian dan agak sukar kerana laluannya lebih tinggi dan batunya besar. Saya berhadapan kesukaran,” kata Gail yang mengakui laluan ke puncak Kinabalu agak sukar meskipun dia berpengalaman dalam aktiviti mendaki gunung.

Selepas tiga jam dan melalui pelbagai kesukaran, akhirnya kumpulan itu menawan puncak Gunung Kinabalu.

Pandangan panorama dan keindahan alam dari puncak gunung yang tingginya lebih 4,000 meter di atas aras laut sungguh menakjubkan.

Gail dan rakannya turut merakam video sambil me­nyaksikan matahari terbit dari puncak.

Magnitud 6.0

Dalam jadual kumpulan itu, mereka perlu berada di puncak gunung hanya selama sejam, tetapi pada jam 7.15 pagi, Gunung Kinabalu mula bergegar.

“Sewaktu gegaran dirasai, jurupandu kami menjerit, ‘lari’!... justeru kami cuba berlari.

“Mereka cemas ketika melihat dua batu besar dikenali sebagai Telinga Keldai, dan saya terfikir ia akan jatuh ke bawah menimpa kami,” katanya mengimbas kembali kejadian.

Empat jam gempa melanda kawasan itu dan setiap kali bumi bergegar, jurupandu akan menyuruh mereka berlari ke atas bagi mengelak ditimpa runtuhan batu.

Semua pendaki dikumpulkan semula sementara menunggu nasihat daripada pihak berkuasa. Kebanyakan mereka amat takut, ada yang menggeletar dan ada mula berdoa.

Bagaimanapun, pemandu pelancong berusaha memastikan kami dalam keadaan tenang dengan mengatakan helikopter akan datang untuk menyelamat tidak lama lagi.

Terkandas di atas

Ia sudah masuk waktu tengah hari apabila pendaki mendengar bunyi enjin helikopter berada berhampiran kawasan mereka, tetapi mereka tidak dapat dilihat kerana awan meliputi langit dan kabus tebal menyelimuti puncak gunung.

Penglihatan kabur berterusan sehingga selepas makan tengah hari apabila cuaca mula menjadi semakin sejuk. Pendaki mula berpelukan sesama sendiri untuk memanaskan badan apatah lagi mereka cemas sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

Namun, sehingga petang, tiada tanda-tanda mereka akan diselamatkan sedangkan pendaki semakin letih, mengantuk dan lapar.

Sebahagian daripada mereka membuat rumusan berkemungkinan terpaksa bermalam di atas puncak. Beberapa pendaki Cina membina khemah menggunakan kanvas tarpal manakala yang lain mengelilingi unggun api.

Tanpa helikopter

Apabila hampir jam 5 petang, pemandu pelancong mengumumkan tiada lagi helikopter datang untuk me­nyelamatkan mereka. Justeru, mereka diminta beratur dan memulakan perjalanan turun dari bukit itu.

Sewaktu dalam perjalanan turun, kumpulan itu me­nyaksikan kemusnahan besar akibat gempa bumi. Jurupandu Gail sempat berpesan, “Jika anda nampak sesuatu, usah bertindak balas.”.

Pada mulanya mereka hairan dengan arahan jurupandu itu, tetapi tidak lama kemudian Gail memahami perkara itu apabila mereka melihat mayat bergelimpangan.

“Saya terserempak dengan dua mayat ketika dalam perjalanan ke bawah, seorang lelaki bersama gadis kecil yang terdapat tali pada badannya, kemungkinan dia jurupandu,” ujar Gail dalam bahasa Filipina.

Gail dan rakan-rakannya berusaha engawal perasaan dengan memberi tumpuan kepada satu perkara: “Kami mengingati antara satu sama lain, kami perlu turun dengan apa saja cara. Kami tidak mahu mati di sini. Kami akan pulang ke Filipina dan bersatu dengan keluarga serta rakan”.

Disebabkan laluan asal hilang akibat tanah runtuh, mereka perlu bergantung pada tali (abseiling) di sesetengah kawasan untuk meneruskan perjalanan.

Selamat di Laban Rata

Jam menunjukkan angka 7 malam apabila kumpulan itu sampai di Laban Rata. Kelihatan pasukan mencari dan menyelamat giat mencari mangsa.

Rumah rehat cantik turut musnah, tingkap berkecai dan elektrik terpadam. Beberapa mayat di lantai ditutup dengan kain. Kumpulan itu mencari makanan di rumah rehat dan kerana terlalu lapar, mereka tidak kisah makan walaupun berdekatan mayat.

Selepas memperoleh tenaga yang cukup, mereka meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan turun, gempa berskala 4.0 melanda Sabah.

Pada jam 10 malam, pendaki terkandas dan pasukan penyelamat sampai ke Taman Kinabalu, tempat bantuan perubatan diberikan kepada mereka.

Menurut Gail, terdapat lebih 160 pendaki ketika hari pertama di Laban Rata termasuk pelajar dari Singapura.

Tetapi kumpulan termasuk murid terbabit mengambil laluan berbeza, melalui Feratta. Laluan ini lebih mencabar kerana dilindungi jalan gunung yang terdiri daripada satu siri anak tangga, rel, kabel dan jambatan pada permukaan batu.

Laluan ini lebih sesuai untuk pendaki batu daripada pendaki gunung seperti Gail, justeru mereka terkejut apabila mengetahui murid sekolah dari Singapura menggunakan laluan itu.

Seramai enam murid dari Sekolah Rendah Tanjong Katong meninggal dunia termasuk seorang Filipina-Singapura berusia 12 tahun bernama Karyl Mitzi Higuit Matahom.

Mayat Matahom dihantar pulang ke Singapura manakala 137 pendaki termasuk kumpulan Gail selamat dibawa turun pasukan penyelamat selepas terkandas di pergunungan selama 18 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 2:09 PM