MIGNOLET (kiri) menyelamatkan sepakan penalti Muniesa.
MIGNOLET (kiri) menyelamatkan sepakan penalti Muniesa.
AFP

Liverpool: Simon Mignolet muncul wira selepas menyelamatkan sepakan penalti Marc Muniesa ketika Liverpool mengatasi Stoke City 6-5 menerusi penentuan penalti di Anfield awal pagi semalam sekali gus layak ke final Piala Liga Inggeris.

Selepas Marko Arnautovic memadamkan kelebihan agregat 1-0 Liverpool dengan gol yang jelas dilihat dijaringkan dalam kedudukan ofsaid, perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan kemudian penalti, dan ketika Mignolet mengecewakan Muniesa, pemain gantian Joe Allen menyempurnakan tendangan penalti penentu.

Berikutan beberapa keputusan hambar baru-baru ini, ia pastinya melegakan pengurus Liverpool Juergen Klopp. Pasukannya akan bertemu sama ada Manchester City atau musuh Merseyside Everton pada final 28 Februari ini.

“Gol mereka jelas ofsaid tapi akhirnya, kami bertuah menerusi penentuan penalti,” kata Klopp.

“Dalam tempoh 120 minit, pemain, penyokong dan Liverpool berhak dengan kemenangan ini. Wembley tempat yang bagus untuk bermain bola sepak, tapi kami ke sana untuk menang. Tidak seronok jika kalah.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 7:15 AM