JUERGEN KLOPP
JUERGEN KLOPP
AFP

LIVERPOOL: Jurgen Klopp enggan dirinya dibeban rasa kecewa sekali pun berang Liverpool tidak dianugerahkan penalti ketika seri 1-1 dengan Leicester City di Anfield, awal pagi tadi.

Keputusan yang hadir selepas 24 jam pencabar utama kejuaraan Liga Perdana, Manchester City tewas kepada Newcastle menyaksikan skuad kendalian Klopp mengukuhkan kedudukan di puncak liga kepada lima mata.

Selepas Sadio Mane meletakkan tuan rumah mendahului, pertahanan England Harry Maguire menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama.

Begitupun, bagi merobek kegembiraan Klopp, enam minit sebelum itu Maguire melakukan kekasaran kepada Mane ketika penyerang Reds itu berpeluang cerah untuk menjaringkan gol menerusi serangan balas.

Pengadil, Martin Atkinson hanya melayangkan kad kuning bagi kesalahan berkenaan dan menambah ‘jenayahnya’ di mata peminat Liverpool, dia turut tidak memberikan tuan rumah penalti pada babak kedua susulan kekasaran Ricardo Pereira ke atas Naby Keita.

“Keputusan 1-1 tidak mengapa sekali pun semua orang bersetuju ia sepatutnya penalti,” kata Klopp. “Saya tidak tahu mengapa ia bukan. Saya tidak tahu apa dia (Atkinson) lihat ketika itu kerana dia berada di posisi terbaik. Tiada pertumpahan darah berlaku tetapi ia adalah penalti.”

Pengurus Liverpool itu yang berusaha membawa kejuaraan Inggeris ke Anfield buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun bertegas dengan keputusannya.

“Dia (pengadil) tidak mahu memberikannya dan kami tidak boleh memberitahunya datang ke sini dan lihat semula. Saya fikir kita bersetuju ia adalah penalti, amat jarang saya berdiri di sini apabila kami mendapat penalti dan kami perlu mempertahankannya.

“Dan kami juga berdepan situasi dengan Maguire. Saya bukan pengadil, saya adalah pengurus. Tetapi saya tidak yakin, adakah tindakannya itu bijak? Saya boleh berkata ia adalah 100 peratus peluang menjaringkan gol.

“Situasi di mana jika ada peluang untuk menjaringkan gol memberitahu pengadil dia perlu melayangkan kad merah.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:56 PM