OJO (kiri) muncul penjaring termuda Piala FA untuk Liverpool.
OJO (kiri) muncul penjaring termuda Piala FA untuk Liverpool.

London: Pengurus Juergen Klopp cuba tidak meletak harapan tinggi terhadap pemain remaja Liverpool dan menegaskan masih banyak perlu mereka pelajari meskipun menang ke atas Exeter City pada perlawanan Piala FA.

Liverpool menang 3-0 pada perlawanan ulangan pusingan ketiga, apabila pemain muda Joao Teixeira dan Brad Smith cemerlang di bahagian kanan manakala pemain tengah Kevin Stewart dan Cameron Brannagan mengemudi bahagian tengah.

Sheyi Ojo, 18, menyempurnakan aksi sebagai pemain gantian dengan menjadi penjaring termuda dalam sejarah Liverpool untuk Piala FA manakala Teixeira dan Joe Allen turut menjaringkan gol untuk mara ke pusingan keempat menentang West Ham United.

Klopp memuji pasukan sementara itu namun memberi amaran kepada peminat supaya bersabar dengan prospek pemain muda terbabit dalam Liga Perdana Inggeris yang mana Liverpool kini menduduki tangga kesembilan, lapan mata ketinggalan untuk tiket ke Liga Juara-Juara.

“Mereka membuktikan apa yang mampu dilakukan. Sekarang masanya untuk pemain muda ini berkembang dan bukannya melindungi mereka,” kata Klopp selepas perlawanan itu.

“Masih banyak yang perlu mereka pelajari. Matlamat akhirnya adalah Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris dan untuk itu anda perlu bersedia untuk setiap aspek pembangunan.”

Pengurus Jerman itu gembira dengan kepulangan pertahanan Jon Flanagan, yang membuat penampilan pertamanya untuk kelab itu sejak akhir musim 2013-14 selepas dua kali mengalami pembedahan lutut.

“Seluruh stadium berdiri dan bertepuk tangan. Memang hebat dan tiada siapa yang berhak menerimanya selain dia. Sudah agak lama dia tidak bermain,” kata Klopp. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:57 AM